Siapakah Ahlil Bait?: Syubhat Berkenaan Hadits Kisa’

Mencintai Ahli Bait adalah salah satu kewajipan ke atas seorang muslim yang mengakui mengikuti islam yang dibawa oleh Nabi sallallahu ‘alaihiwasallam, Hal ini merupakan sesuatu yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran, As-Sunnah serta ijma’ ulama’, malah Para ulama’ Ahli Sunnah Wal Jama’ah meletakkan bab yang tersendiri di dalam kitab-kitab mereka tentang kelebihan Ahli Bait dan kewajipan seorang muslim terhadap hak-hak mereka. Firman Allah Ta‘ala:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا (32) وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan). Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai ‘AhlulBait’ dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”

[Al-Ahzab: 32-33]

Kata Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah:

“Ayat ini merupakan nas yang menunjukkan isteri-isteri Nabi sallallahu ‘alaihiwasallam termasuk Ahli Bait.”

[Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim 6/410]

Firman Allah Ta‘ala:

النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَى بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ إِلَّا أَنْ تَفْعَلُوا إِلَى أَوْلِيَائِكُمْ مَعْرُوفًا كَانَ ذَلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورً

“Nabi itu lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu-ibu mereka”…

[Al-Ahzab: 6]

Kata Al-Imam Al-Qurtubhi rahimahullah (w 671 H):

شَرَّفَ اللَّهُ تَعَالَى أَزْوَاجَ نَبِيِّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِأَنْ جَعَلَهُنَّ أُمَّهَاتِ الْمُؤْمِنِينَ، أَيْ فِي وُجُوبِ التَّعْظِيمِ وَالْمَبَرَّةِ وَالْإِجْلَالِ وَحُرْمَةِ النِّكَاحِ عَلَى الرِّجَالِ، وَحَجْبِهِنَّ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُنَّ بِخِلَافِ الْأُمَّهَاتِ

“Allah telah memuliakan isteri-isteri nabiNya Sallallahu ‘alaihiwasallam dengan menjadikan mereka sebagai ibu-ibu kepada orang-orang beriman, iaitulah kewajipan memuliakan, berbuat baik kepada mereka, dan pengharaman menikahi mereka dengan lelaki lain, dan diwajibkan hijab ke atas mereka berbeza dengan ibu-ibu (kita sendiri ).”

[Tafsir Al-Qurtubhi, Darul kutub Misriyyah , 14/123 ]

Siapakah Ahli Bait Nabi Sallallahu ‘alaihi wa‘ala aalihi wasallam ?

هم مَن تَحرُم عليهم الصَّدقةُ، وهم أزواجُه وذريَّتُه، وكلُّ مسلمٍ ومسلمةٍ من نَسْل عبد المطلب، وهم بنُو هاشِم بن عبد مَناف

Mereka ialah sesiapa yang diharamkan ke atas mereka sadaqah (zakat) iaitulah mereka ialah isteri-isteri, zuriat (anak-anak) Nabi, dan semua muslim dan muslimat daripada keturunan ‘Abdul Mutalib, mereka ialah Bani Hasyim bin ‘Abdul Manaf.

[Rujuk Jamharah Ansab AlArab Ibn Hazm, At-Tabyin Fi Ansab Al-Qurasyiyin Ibn Qudamah m/s: 76, Minhajus Sunnah Ibn Taimiyyah 7/ 304 dan Fathul Bari Ibn Hajar 78/797]

Sebagaimana diketahui ayat surah Al-Ahzab ayat 33 menjadi dalil bahawasanya isteri-isteri Nabi sallallahu ‘alaihiwasallam termasuk dari Ahli Bait kerana ayat tersebut turun mengenai mereka Radiallahu ‘anhunna. Selain itu kemasukan mereka juga dikhusukan di dalam hadits lain yang menafsirkan lafaz kaifiat selawat ke atas Nabi Sallallahu ‘alaihiwasallam sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari di dalam Shahihnya:

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ، عَنْ مَالِكٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَمْرِو بْنِ سُلَيْمٍ الزُّرَقِيِّ، قَالَ: أَخْبَرَنِي أَبُو حُمَيْدٍ السَّاعِدِيُّ، أَنَّهُمْ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَيْفَ نُصَلِّي عَلَيْكَ؟ قَالَ: “ قُولُوا: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ”

Daripada ‘Amru bin Sulaim Az-Zarqani, katanya: Telah mengkhabarkan kepadaku Abu Humaid As-Saa’idi bahawasanya mereka bertanya kepada Rasulullah, bagaimanakah cara kami berselawat ke atas engkau? Nabi bersabda: “Ucapkanlah: Ya Allah limpahkanlah selawat ke atas Muhammad, isteri-isterinya, dan zuriat-zuriatnya, sebagaimana Engkau telah limpahkan selawat ke atas keluarga Ibrahim, dan berkatilah ke atas Muhammad, isteri-isterinya dan zuriat-zuriatnya, sebagaimana engkau limpahkan keberkatan ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

[HR Bukhari no; 3369, 6320, Abu Daud no: 979, Ibn Majah no: 905, An-Nasai no: 1294 ]

Syubhat Berkenaan Hadits Kisa’

Kaum Syiah menafikan isteri-isteri Nabi sallallahu ‘alaihiwasallam termasuk dari kalangan Ahli Bait Nabi sallallahu ‘alaihiwasallam, mereka menggunakan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Shahihnya no:2424, daripada ‘Aisyah radiallahu ‘anha:

خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَدَاةً وَعَلَيْهِ مِرْطٌ مُرَحَّلٌ، مِنْ شَعْرٍ أَسْوَدَ، فَجَاءَ الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ فَأَدْخَلَهُ، ثُمَّ جَاءَ الْحُسَيْنُ فَدَخَلَ مَعَهُ، ثُمَّ جَاءَتْ فَاطِمَةُ فَأَدْخَلَهَا، ثُمَّ جَاءَ عَلِيٌّ فَأَدْخَلَهُ، ثُمَّ قَالَ: ” {إِنَّمَا يُرِيدُ اللهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا}

Nabi Sallallahu ‘alaihiwasallam keluar pada suatu pagi dan bersama beliau sehelai kain selimut diperbuat daripada bulu hitam, lalu datang Al-Hasan bin ‘Ali lantas Nabi menyelimutinya bersama beliau, kemudian datang Al-Husain lalu beliau masuk bersamanya, kemudian datang Fatimah lalu Nabi memasukkan beliau, kemudian datang ‘Ali lalu Nabi memasukkan beliau (menyelimuti mereka semua bersamanya ) kemudian Nabi membaca ayat: “Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.”

[Al-Ahzab:33]

Hadits ini diriwayatkan juga oleh:

  1. Al-Imam At-Tirmidzi di dalam Jami’ At-Tirmidzi, no: 3205
  2. Al-Imam Abu Bakr Ibn Abi Syaibah di dalam Mushannaf Ibn Abi Syaibah no: 32102
  3. Musnad Ishak Ibn Rawahaih no: 1271
  4. Al-Imam Ibn Hibban dalam Shahihnya no: 6976

Walaupun ada beberapa riwayat lain yang dipertikaikan status perawinya namun riwayat dari Shahih Muslim adalah riwayat yang paling shahih.

Syiah mendakwa Nabi sallallahu ‘alaihiwasallam hanya memanggil ‘Ali, Fatimah, Al-Hassan dan Al-Hussain Radiallahu ‘anhum ke dalam selimut hitam tersebut bersama beliau lalu membacakan ayat 33 surah Al-Ahzab menunjukkan Ahli Bait hanya terbatas kepada mereka berempat dan para Isteri Nabi sallallahu ‘alaihiwasallam termasuk Ummul Mukminin ‘Aisyah, Hafsah Radiallahu ‘anhuma tidak termasuk dari Ahli Bait Nabi Sallallahu ‘alaihiwasallam.

Jawapan Al-Muhaddith Madinah An-Nabawiyyah As-Syaikh ‘Abdul Muhsin ‘Abbad Hafizahullah:

Surah Al-Ahzab (ayat 33) itu menjadi dalil menunjukkan kemasukan mereka (isteri-isteri) Nabi dalam Ahli Bait, kerana khitab dalam ayat tersebut ditujukan kepada mereka, dan kemasukan ‘Ali, Fatimah, Al-Hasan dan Al-Hussain Radiallahu ‘anhum dalam ayat tersebut ditunjukkan pula oleh As-Sunnah dalam hadits ini, dan pengkhususan Nabi Sallallahu ‘alaihiwasallam ke atas mereka berempat Radiallahu ‘anhum dalam hadits ini (hadits kisa’) tidak menunjukkan terbatasnya Ahli Baitnya hanya kepada mereka (berempat) sambil menafikan kerabat Nabi yang lain, akan tetapi hadits tersebut menunjukkan bahawasanya mereka termasuk daripada kerabat Nabi yang khusus. Dan persamaan dilalah (petunjuk) dalam ayat ini yang menunjukkan kemasukan isteri-isteri Nabi Sallallahu ‘alaihiwasallam dalam Ahli Baitnya, dan juga petunjuk yang ditunjukkan oleh hadits ‘Aisyah Radiallahu ‘anha yang terdahulu yang menunjukkan kemasukan ‘Ali, Fatimah, Al-Hasan dan Al-Hussain Radiallahu ‘anhum dalam Ahli Baitnya hal ini sebagaimana petunjuk dalam Firman Allah Ta‘ala:

{لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ}

Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa, sejak hari pertama (pembinaannya)

[At-Taubah:108]

Bahawasanya maksud masjid di sini iaitulah Masjid Quba’, dan dilalah (petunjuk) dari As-Sunnah dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Shahihnya no: 1398, bahawasanya yang dimaksudkan masjid yang dibina atas dasar taqwa iaitulah masjidnya (Masjid Nabawi) Sallallahu ‘alaihiwasallam. Sesungguhnya hal yang sama telah disebut oleh Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah di dalam Risalah Fadhlu Ahlil Bait Wa Huquqihim m/s 2120.

-Selesai perkataan beliau Hafizahullah- [Rujuk : Fadhlu Ahlil Bait Wa ‘Uluw Makanatihim ‘Inda Ahli Sunnah Wal Jama’ah, Darul Ibn Athir, Riyadh m/s: 9]

Dengan keterangan tersebut maka terbatallah dakwaan bahawasanya para Isteri Nabi Sallallahu ‘alaihiwasallam tidak termasuk dari Ahli Bait Nabi sallallahu ‘alahiwasallam, dan dakwaan hadits Kisa’ itu statusnya lemah juga adalah tidak tepat kerana hadits tersebut diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim di dalam Shahihnya.

Wallahu ‘alam,

Abu Ayyub Muhammad Fashan bin Ahmad Ziadi
Universiti Islam Al-Madinah An-Nabawiyyah
21 Muharram 1432 H.

Tagged: , , , ,

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: